Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.
Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:
Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.
Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.
Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.
Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.
Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.
Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.
Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.
Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya.
0 comments:
Post a Comment